Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat melawat Uskup Bernard Paul

Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat iaitu YB Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz bersama delagasinya telah berkunjung ke Pusat MAJODI, Plentong pada 21 Ogos 2017. Mereka telah bertemu dengan Uskup Keuskupan Melaka-Johor, Yang Mulia Uskup Bernard Paul, Vikaris Jeneral II Monsignor Michael Mannayagam, perwakilan Taoisme merangkap Timbalan Pengerusi MCCBCHST (Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois)  Encik Tan Yong Seng, Reverend Fr Thomas George dari Gereja Mar Thoma Syria Johor Bahru merangkap Setiausaha MCCBCHST, Paderi Paroki Katedral Hati Kudus Yesus merangkap Pengarah Pelayanan Keuskupan bagi Ekumenikal dan Hal-Ehwal Antara Agama Father Edward Rayappan, Paderi Paroki Gereja Hati Bonda Maria Tak Bernoda merangkap Ketua Kerasulan Alkitab Father Moses Lui, Paderi Paroki Gereja Katolik Santa Teresa Masai merangkap Ketua Komisi Liturgi Keuskupan Melaka Johor Father Adrian Francis Matthews, beberapa ketua, staf serta perwakilan bagi kerasulan dan pelayanan keuskupan di Melaka-Johor dan wakil-wakil NGO yang dijemput.

Perjumpaan ini merupakan buat julung-julung kalinya diadakan antara pimpinan parti politik PAS dengan Keuskupan Melaka-Johor dibawah kepimpinan Uskup Bernard Paul.

Lawatan PASYB Nik Abduh memulakan sesi dialog dengan memperkenalkan delegasi yang hadir serta menerangkan tentang salah faham mengenai parti PAS yang dikatakan menggunakan agama demi kepentingan politik. Menerangkan tujuan Lajnah Dakwah PAS Pusat, beliau menambah bahawa politik tidak boleh panas sedangkan agama pula mengajak ke arah kesejahteraan rakyat dan menolak persengketaan disebabkan perbezaan politik sesama masyarakat Islam menerusi kesedaran. Dan pada masa sama membina hubungan antara PAS dengan masyarakat bukan Islam.

YB Nik Abduh juga memetik sebahagian ayat Quran surah Al-Maidah 5:82 bagi menerangkan tujuan utama rombongan mereka ke Pusat MAJODI sebagai satu pembuka.  Ayat tersebut bermaksud “Dan sesungguhnya engkau akan dapati orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang yang beriman ialah orang yang berkata: Bahawa kami ini orang Nasrani.”

Uskup Bernard memperkenalkan para jemputan yang mewakili keuskupan, wakil MCCBCHST serta sejarah penubuhan Pusat MAJODI serta fakta demografik keuskupan. Uskup menyatakan tiada agenda rasmi bagi pertemuan keuskupan dengan PAS namun dialog ini diadakan sebagai satu perkenalan untuk mengenali PAS dengan lebih rapat. Kesempatan juga diberi kepada Fr Edward Rayappan juga memperkenalkan Shaykh Imran Angullia yang turut aktif berdialog dengan pihak keuskupan menerusi Hidayah Centre Johor.

Meskipun terdapat perbezaan doktrin antara Islam dan Kristian mengenai Yesus (Isa AS), Hj Hussin Ismail, Pengerusi Tetap PAS Pusat menyatakan umat Islam tidak dianggap beriman selagi tidak meletakkan Yesus dalam kedudukan yang tinggi. Bahkan Yesus itulah yang dinantikan semua umat manusia menjelang kedatangannya kembali. Beliau turut berkongsi pandangan mengenai nabi Zulkifli yang dikatakan ada persamaan dengan Buddha menerusi pengalamannya di Nepal.

Lawatan PASDalam sesi pertukaran pendapat antara dua pihak, pelbagai perkara dibangkitkan. Dari isu perpaduan agama, ke isu perundangan sehinggalah isu politik telah disuarakan. Rata-rata, itu menjadi kebimbangan rakyat bukan Islam di Malaysia.

Menyentuh mengenai isu RUU355, Calvin Ohsey yang merupakan seorang staf bagi Pelayanan Keuskupan bagi Ekumenikal dan Hal Ehwal Antara Agama mempersoalkan tindakan PAS mengangkat isu tersebut sehingga menjadi polemik hudud yang menenggelamkan banyak isu utama lain serta kedudukan masyarakat bukan Islam dalam undang-undang syariah.

Menjawab soalan tersebut, YB Nik Abduh menyakinkan semua yang hadir bahawa Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 – Akta 355 hanyalah terpakai untuk orang Islam sahaja. Beliau turut menegaskan isu ini bersangkut paut dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1993 yang dipinda tahun 2015 namun tidak dapat dilaksanakan kerana masih tertakluk dibawah RUU355. Bagi membolehkan Enakmen itu terlaksana di Kelantan, Akta 355 perlu dipinda mengikut proses demokrasi di Dewan Rakyat.

Mengulas mengenai pindaan RUU355 yang dikatakan akan membuka ruang untuk melaksanakan hukum hudud sepenuhnya, YB Nik Abduh  menjawab ianya RUU355 hanya bertujuan untuk memperkasakan hukuman syariah. Ujarnya juga aspek hukuman sivil juga merangkumi hukuman syariah. Dan melihat kepada suasana di Malaysia, ternyata RUU355 bukanlah hudud dan hudud tidak akan dilaksanakan sepenuhnya tanpa persetujuan rakyat Malaysia secara amnya.

Sr Susan Dulang SSFS merangkap ketua kerasulan Bahasa Malaysia bagi keuskupan juga menyatakan kebimbangan mengenai isu rampasan Alkitab, isu penggunaan kata nama Allah serta sekatan beragama ke atas umat Kristian dan meminta PAS menyatakan pendirian mereka.

Mengulas kepada Sr Susan, YB Nik Abduh menyatakan agama Islam tidak melarang umat Kristian menggunakan nama Allah dan segala isu berkaitan ini berpunca daripada kepincangan dalam melaksanakan perundangan Islam. Dan agama Islam melarang perbuatan tidak bertoleransi tersebut ujarnya. Dan beliau menjanjikan kepada Sr Susan untuk melihat perkara tersebut dengan pihak kerajaan jika berkesempatan.

Seorang peguam bernama  S. Jeyakumar turut menanyakan kepada perwakilan PAS mengenai kerajsama politik dengan UMNO, krisis PAS di Selangor, Pakatan Harapan (PH) dan pendirian PAS dalam mendepani PRU14.

YB Nik Abduh menyatakan bahawa kerjasama dengan UMNO hanyalah berkaitan dengan memperkasakan agama Islam dan pada masa mereka tetap tegas melawan UMNO dalam pelbagai isu. Mengenai krisis PAS di Selangor, ianya merupakan usaha YB Datuk Seri Azmin Ali sendiri. Setelah aspirasi PAS tidak dipersetujui PH, PAS telah membentuk blok ke-3 yang dikenali sebagai Gagasan Sejahtera yang disertai juga oleh parti Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) serta beberapa parti lain.

Lawatan PASTurut ditanya juga mengenai Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164)  oleh Fr Thomas George. Nik Abduh menegaskan sikap PAS tegas dengan meminta untuk membawa semua pihak berkepentingan pihak kerajaan yang terdiri ahli politik kerajaan dan pembangkang serta tokoh-tokoh semua agama untuk berbincang sebelum membawa usul pindaan ke parlimen yang kelihatan tak selesai dengan cara mudah kerana ianya membabitkan agama serta hak penjagaan anak. Apabila usul pindaan RUU164 dibawa ke Parlimen, PAS membantah kerana ianya dilihat bertentangan dengan Fasal 88A dan juga mencabar Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan agama Islam.

Terdapat 4 jenis dialog yang diperkenalkan oleh Majlis Kepausan Untuk Dialog Antara  Agama yang sedang dicapai melalui pertemuan ini. Dialog kehidupan dimana masyarakat beraneka agama berupaya untuk hidup dengan suasana terbuka dan harmoni; dialog tindakan dimana umat Kristian dan umat agama lain berkerjasama dalam pembangunan manusia; dialog pertembungan teologi dimana agamawan mahupun umat awam berbahas untuk memperdalam kefahaman antara agama satu sama lain dan dialog pengalaman keagamaan dimana individu mahupun kelompok masyarakat yang yakin dengan agamanya sendiri hadir serta berkongsi dalam kekayaan tradisi serta kerohanian agama lain.

Dalam menutup sesi dialog antara delegasi lajnah PAS Pusat dengan delegasi keuskupan Melaka-Johor yang berlansung lebih 2 jam, Uskup Bernard menyatakan bahawa peranan pemimpin parti politik dan pemimpin agama sangat penting dalam memastikan kemakmuran dan kehormonian antara masyarakat terpelihara terpelihara. Dengan nada penghargaan dia berkata, “Kita perlu dan selalu memeriksa untuk memastikan kesetiaan kita kepada satu hukum saja iaitu hukum cinta kasih iaitu hukum Tuhan Allah. Agama jika digunakan dengan baik, semua orang mendapat faedahnya, melindungi hak golongan minoriti, membina jambatan penghubung serta melibatkan semua  dan akan menikmati berkat Tuhan Allah.”