Chosen, Called, Blessed (Misi ke Pensiangan, Julai 2016)
Pada 14hb Julai, tibanya masa untuk saya ke Sabah. Saya merasa gembira kerana dapat berjumpa dengan kawan-kawan misi ini. Petang tersebut kami mempunyai sesi bersama Jeanny. Masa sesi tersebut juga saya mendapat panggilan telefon yang saya nantikan beberapa minggu tersebut. Pada saat itu, saya sedar akan rancangan Dia untuk saya. Saya memilih untuk percaya bahawa Dia membawa saya untuk mengikuti misi ini sebab Dia punya rancangan yang terbaik untuk saya.
Sejujurnya, selama ini lama dah saya hilang hubungan dengan Dia walaupun saya agak aktif melayani di gereja. Hal ini disebabkan kelemahan dan pilihan saya untuk menjauhkan diri dari Dia semata-mata ingin mengejar kepuasan duniawi. Bahkan untuk melibatkan diri dalam sesuatu yang memerlukan saya untuk melayani orang yang tidak saya kenali juga bukanlah sesuatu yang senang buat saya.
Pada hari berikutnya, kami bertolak pada pukul 6.30 pagi. Kami diberkati dengan kehadiran Adrian Lasimbang untuk membawa kami ke Pensiangan. Perjalanan tersebut mengambil masa dalam 7 jam lebih. Jalan untuk ke Pensiangan adalah agak berbahaya bagi kami. Tetapi dengan tujuan yang baik, perjalanan kami diberkati dan kami sampai dengan selamat di Pensiangan dalam pukul 2 petang. Ketibaan kami disambut dengan penuh kemesraan oleh orang di Tanjung Harapan, Pensiangan. Saya merasakan pada saat itu mereka seolah-olah seperti ahli keluarga saya yang lama saya tidak jumpa. Awal keberadaan di Tanjung Harapan, kami meluangkan masa dengan para muda-mudi di kampung tersebut pada sebelah malamnya. Kami berkongsi tentang pengalaman macam mana pendidikan mampu menaik-taraf kehidupan, bersama-sama memuliakan nama Dia melalui nyanyian dan tarian. Keesokannya, peserta lelaki misi ini membantu Adrian untuk mendirikan solar generator. Manakala, bagi kami yang perempuan pula membawa budak-budak Tanjung Harapan untuk menjalani medical checkup di Klinik Pensiangan yang diadakan oleh sekumpulan sukarela dari Mesir. Saya berasa senang kerana budak-budak itu mempercayai kami untuk menjaga mereka sehinggakan ada seorang budak baru berumur 8 tahun begitu tabah bila dia perlu menampal dua gigi dia yang berlubang. Pada hari Ahad iaitu 17hb, 4 orang peserta lelaki misi ini telah pergi ke Kampung Tinanduk terlebih dahulu untuk mempersiapkan tempat tersebut untuk kumpulan kami. Manakala, yang selebihnya pergi pada keesokan harinya.
Perjalanan ke Kampung Tinanduk memerlukan kami menggunakan bot. Arus air agak deras tapi kami berjaya sampai dengan selamat sebab yang membawa kami adalah orang yang dah biasa membawa bot. Sepanjang perjalanan ke Kampung Tinanduk, saya mempunyai refleksi untuk diri sendiri. Melihat arus sungai yang mengalir mengingatkan saya tentang kehidupan. Hidup ini macam air yang mengalir, ada masa kita akan bertemu batu besar, tapi kalau itu kehendak Dia, Dia akan tetap membawa kita keluar dari masalah kita ibarat air yang akan terus mengalir walaupun ada batu besar yang menghalangnya untuk terus mengalir. Selain daripada itu, air yang mengalir di batu besar juga lagi deras dari yang tenang. Bagi saya, apa yang cuba dibicarakan dengan saya ialah bila saya menghadapi kesusahan, Dia akan bawa saya keluar dari kesusahan yang saya hadapi malah Dia menjadikan saya lagi kuat. Seperti yang dinyatakan dalam Mazmur 46:2 “Allah itu bagi kita tempat perlindungan dan kekuatan, sebagai penolong dalam kesesakan sangat terbukti”.
Selama seminggu kami meluangkan masa di Kampung Tinanduk. Aktiviti yang kami laksanakan di sana adalah untuk memulakan aktiviti membina tadika. Kesepuluh-sepuluh orang peserta bertungkus lumus untuk menyediakan tapak tadika tersebut. Kami mengorek lubang sedalam 2 kaki sebanyak berbelas lubang dan kami membantu untuk mendirikan tiang. Pada hari ke-3 kami berada di sana, kami menghadapi kesukaran tetapi 10 peserta tersebut sentiasa berada bersama. Itulah kenangan yang paling saya tidak dapat lupakan.
Selesai di Kampung Tinanduk, kami pun bertolak balik ke Tanjung Harapan, Pensiangan. Sebelum balik, kami sempat melaksanakan aktiviti bersama anak-anak dan muda-mudi di sana iaitu sukaneka. Sukacita yang mereka pamerkan sangat suci dan ini mengingatkan saya akan sukacita sebagai anak Dia yang tidak tamak akan kehendak dan kepuasan duniawi. Lukas 18:17 “Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya barangsiapa tidak menyambut Kerajaan Allah seperti seorang anak kecil, ia tidak akan masuk ke dalamnya.”
“Kanak-kanak di sana memberi inspirasi kepada saya untuk terus melayani kepada masyarakat , mereka menikmati setiap hari dengan setiap bermain dan juga melayani Tuhan. Beberapa kanak-kanak berkata bahawa mereka mahu menjadi nun.” – Rayvinshie Selvadurai
“Salah satu saat saya mendapati kehadiran Dia ialah apabila bersama dengan anak-anak di mana mereka akan menulis ‘ I love Jesus ‘ di mana-mana peluang mereka dapat untuk menghias dan mereka juga akan menunjukkan semangat yang besar dalam sesi puji dan sembah.” – Amanda Alexine Enriquez
“Saya merasakan bahawa Allah menggunakan Emut untuk melayani dengan menghidangkan makanan dan minuman serta keperluan kami semasa berada di Kampung Tinanduk.”- Ashley Patrick
Selain daripada itu, kami juga menjalankan sesi bersama para ibu di Tanjung Harapan. Kami memberi pendedahan mengenai para ibu yang tinggal di bandar dan kami menggalakkan mereka untuk mengunakan bakat mereka untuk menjana pendapatan. Apa yang saya dapat selama hampir 2 minggu di Tanjung Harapan dan Kampung Tinanduk membuat saya sedar bahawa Dia harus makin besar, tetapi aku harus makin kecil (Yohanes 3:30). Malah hati dan jiwa saya sangat tenang dapat menjumpai Dia di kalangan orang yang saya jumpa dan alam sekekliling saya. Selain daripada misi ini membuatkan saya ingin mengejar kekudusan. Berusahalah hidup damai dengan orang dan kejarlah kekudusan, sebab tanpa kekudusan tidak seorang pun boleh melihat Tuhan (Ibrani 12:14).
Begitu juga dengan para peserta yang lain yang mendapat begitu banyak kebaikan dengan meengikuti aktivi ini.
“Misi ini adalah peluang bagi saya untuk mengenal Tuhan dengan lebih lagi. Satu pengajaran besar saya belajar dari misi ini adalah Tuhan berbicara kepada kita dalam bentuk yang berbeza, ia boleh melalui doa , orang, alam semula jadi dan banyak lagi. Saya juga mengetahui bahawa kita tidak boleh hidup bersendirian , hidup dalam masyarakat membuatkan kita kuat dan boleh bergantung antara satu sama lain apabila masalah datang kepada kita. Misi ini sangat bermakna bagi saya bukan hanya kerana pertemuan ramai orang, penduduk kampung , NGO dan pendakwah lain dari negara lain tetapi ia juga membuka mata saya dalam pelbagai perkara.” – Marie Michelin Pius

“Saya dapat melihat bahawa Tuhan telah memberitahu saya bahawa walaupun saya perlu melakukan banyak perkara dalam kehidupan tetapi jangan pernah melupakan Allah. Ia adalah satu pengalaman yang memberitahu saya tentang gaya hidup saya kerana saya selalu lupa tentang Tuhan dan malas untuk ke Gereja. Semangat untuk melayani persembahan koir dari anak-anak semasa misa Sabbath memberi banyak inspirasi kepada saya untuk melayani.” – Melvay Allens William
“Sesi terakhir di rumah Jeanny benar-benar menyentuh hati saya . Ianya semasa sesi puji dan sembah bahawa saya mendengar suara Tuhan berkata ” cinta” . Air mata jatuh di pipi saya dan itulah apabila saya tahu akan jawapannya. Tuhan itu pengasih. Ia adalah masa yang sangat mendalam untuk saya dengan Allah. Saya sangat diberkati bahawa Tuhan telah memberikan saya peluang bertemu dengan orang baru dan hebat seperti para mubaligh yang lain, orang-orang di Pensiangan dan Kg. Tinanduk dan orang-orang hebat yang membantu banyak dalam menjalankan misi ini. “Kamu akan mencari Aku . Dan kamu akan mendapati aku , apabila kamu mencari Aku dengan hati kamu. (Yeremia 29:13 )” demikianlah kata-kata Allah untuk saya sepanjang misi ini.” – Vera Samunding
Dengan itu, saya betul-betul merasakan setiap kami yang mengikuti misi Pensiangan ini benar-benar dipilih, dipanggil dan diberkati. (Chosen, Called, Blessed.)