Misa sempena Hari Tentera Darat ke-84 di Melaka
Uskup Bernard Paul memimpin Misa Kudus bagi para tentera sempena Hari Ulang Tahun Tentera Darat ke- 84 yang bertema “Tentera Satu kerana Bersatu” di Gereja Tubuh dan Darah Kristus, Kem Terendak, Melaka.
Perayaan Ekaristis bagi para tentera itu memperlihatkan betapa Gereja menghormati tugas angkatan tentera sebagai salah satu pertahanan negara. Gereja juga amat menghargai pengorbanan anggota tentera yang sanggup meninggalkan kampung halaman dan keluarga demi menurut perintah majikan iaitu Angkatan Tentera Malaysia.
Misa Kudus itu dimulakan dengan perarakan masuk anggota tentera pelbagai unit dari Kem Terendak, Kem Sungai Udang dan Kem Masjid Tanah.
Dalam khutbahnya, Uskup Bernard berkata bahawa askar menerima dua perintah iaitu daripada atasan dan daripada Tuhan Yesus.
Uskup Bernard menyeru para tentera Katolik agar sentiasa mengutamakan perintah Tuhan. Katanya, semua undang-undang manusia hendaklah disemak dengan undang-undang ilahi.
Lumrah hidup anggota tentera sentiasa berpindah randah dalam satu tempoh tertentu. Oleh itu, Uskup Bernard berpesan agar anggota tentera sentiasa membawa Gereja walau ke mana pun mereka ditugaskan.
Prelatus itu juga mengajak semua jemaat CCCTC agar melakukan perubahan sikap sempena musim Pra-Paskah iaitu meninggalkan tingkah laku yang kurang baik dan yang mampu menjatuhkan kekudusan gereja.
Selepas Misa, Bapa Uskup, anggota tentera dan hadirin beramah mesra dalam jamuan tengah hari.
Jamuan ini didahului dengan upacara memotong kek hari ulang tahun oleh Bapa Uskup bersama dengan anggota tentera diketuai oleh Lt. Kol. Ivan Lee, selaku Penaung CCCTC, Lt. Kol. Samzie ak Gusang, Pegawai Memerintah 8 Renjer dan Kpt. Benedict William Sula, selaku YDP CCCTC.
Majlis anjuran CCCTC ini diraikan bersama keluarga tentera secara gotong royong dan “pot luck”.