Mahkamah Berterusan Menafikan Hak Minoriti Kristian
KENYATAAN MEDIA CFM
14hb Oktober 2013
MAHKAMAH BERTERUSAN MENAFIKAN HAK MINORITI KRISTIAN
Masyarakat Kristian di Malaysia merasa amat sedih dan kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam mempertahankan kuasa Menteri untuk mengharamkan penggunaan kalimah Allah di dalam penerbitan Herald.
Keputusan ini mempunyai ruang lingkup yang luas, dan ia kelihatan sebagai merangkumi semua penerbitan Kristian. Dengan menyatakan bahawa “nama ‘Allah’ bukan merupakan sebahagian daripada iman dan amalan agama Kristian” mahkamah telah benar-benar mengabaikan kedudukan Kristian Bumiputra Malaysia Timur dan Kristian Orang Asli, yang membentuk 60% daripada gereja di Malaysia yang bertutur dalam Bahasa Malaysia.
Secara khusus, dengan berpegang bahawa “kesejahteraan individu atau kumpulan perlu memberi laluan kepada kesejahteraan masyarakat” dan menggunakan prinsip ini kepada kebebasan beragama, keputusan ini adalah satu lagi hakisan dan pencabulan ke atas perlindungan perlembagaan terhadap kebebasan masyarakat pelbagai agama untuk menganut dan mengamalkan kepercayaan mereka dan menguruskan hal ehwal mereka sendiri.
Dapat di lihat dalam pembacaan dan tafsiran semula Artikel 3(1) di dalam Perlembagaan Persekutuan, dan ia membawa maksud bahawa agama minoriti hanya boleh diamalkan dan dianuti di Malaysia selagi ia tidak menjejaskan “keamanan dan keharmonian” penganut agama majoriti.
Gereja Bahasa Malaysia sudahpun menggunakan kalimah Allah sebelum dan selepas kemerdekaan Malaya dan penubuhan Malaysia. Penggunakan kalimah Allah oleh gereja-gereja di Malaysia tidak pernah menjadi isu selama ini.
Akan tetapi, beberapa pihak berkuasa di negara ini telah membuat suatu isu dan muncul dengan tindakan yang selektif atau menggalakkan dan menyemarakkan salah faham, syak wasangka dan perpecahan di antara masyarakat Islam dan Kristian. Perkara ini hanya akan melemahkan lagi perpaduan rakyat Malaysia.
Meskipun dengan adanya perkembangaan yang negatif ini, Persekutuan Kristian Malaysia ingin mengingatkan semua gereja di Malaysia untuk sentiasa memandang kepada Tuhan dan berdoa agar semua yang terlibat diberi kebijaksanaan dan panduan di dalam menentukan apakah langkah-langkah seterusnya yang perlu diambil.
Kami mengalu-alukan hakikat bahawa keputusan Mahkamah Rayuan ini tidak secara nyata merangkumi penggunaan kalimah Allah di dalam Kitab Bahasa Malaysia, iaitu Alkitab.
Kami berharap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan para Jemaah Menteri terus menghormati Penyelesaian 10 Perkara yang menyentuh Kitab Bahasa Malaysia, iaitu Alkitab. Oleh itu, kami akan terus menggunakan kalimah Allah di dalam ibadah, liturgi, doa dan bahan pendidikan gereja.
Sebagai warganegara Malaysia yang beragama Kristian, kami komited kepada negara yang kita cintai dan sayangi Malaysia tetap teguh dan kami akan terus bertindak balas dengan kasih dan bukan dengan kebencian dalam kita menghadapi cabaran dan kesulitan yang berterusan ini.
Dengan ikhlas,
Rev. Dr. Eu Hong Seng,
Pengerusi dan Jawatankuasa Eksekutif
Persekutuan Kristian Malaysia