Umat Kristian dan Islam Dari persaingan kepada kerjasama

ENGLISH | MALAY

MAJLIS PONTIFIKAL UNTUK DIALOG ANTARA AGAMA

Umat Kristian dan Islam Dari persaingan kepada kerjasama

MESEJ UNTUK BULAN RAMADAN DAN HARI RAYA ADIL FITRI 1439 H. / 2018 A.D.

Salam Saudara-Saudari yang beragama Islam,

Tuhan yang maha kuasa dalam Rahmat-Nya, telah memberikan saudara dan saudari peluang untuk menunaikan ibadah puasa dalam bulan Ramadan ini dan menyambut ‘Id al-Fitr.

Majlis Pontifikal Untuk Dialog Antara Agama menghargai akan pentingnya bulan ini dan usaha tidak terhingga umat Islam seluruh dunia untuk berpuasa, berdoa dan berkongsi anugerah yang Maha Kuasa dengan golongan miskin.

Menyedari anugerah yang didorong oleh Ramadan, kami turut serta saudara dan saudari dalam memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan Maha Rahim untuk belas kasihan dan kemurahan hati-Nya, dan kami menghulurkan setulus ikhlas ucapan kepada saudara sekalian.

Pada kesempatan ini, kami ingin berkongsi buah fikiran dengan saudara-saudari Islam yang dikasihi, berkenaan aspek penting hubungan antara umat Kristian dan umat Islam: keperluan untuk beralih daripada persaingan kepada kerjasama.

Semangat persaingan sering mencorakkan hubungan antara umat Kristian dan Islam pada masa lampau telah meninggalkan kesan negatif yang jelas: cemburu, saling menuduh dan ketegangan. Dalam sesetengah kes, ini membawa kepada konfrontasi kasar, terutamanya apabila agama telah diperalatkan lebih-lebih lagi kerana kepentingan diri dan motif politik.

Persaingan antara agama seperti ini melukakan imej agama dan pengikutnya, dan memupuk pendapat bahawa agama bukanlah sumber keamanan, tetapi ketegangan dan keganasan.

Untuk mencegah dan mengatasi kesan-kesan negatif ini, adalah penting untuk kita, umat Kristian dan umat Islam mengingat kembali nilai-nilai agama dan moral, yang kita kongsi bersama, sambil mengakui perbezaan kita. Dengan menerima persamaan yang kita pegang dan melalui rasa hormat kita tunjukkan terhadap perbezaan yang sahih, kita boleh mewujudkan asas yang lebih kukuh bagi hubungan damai, beralih daripada persaingan dan konfrontasi kepada kerjasama yang efektif demi kebaikan bersama. Ini terutamanya untuk membantu mereka yang amat memerlukan bantuan dan membolehkan kita menjadi saksi yang boleh dipercayai terhadap cinta kasih yang Maha Kuasa untuk seluruh umat manusia.

Kita semua mempunyai hak dan kewajipan untuk menjadi saksi kepada yang Maha Berkuasa yang kita sembah, serta berkongsi kepercayaan kita dengan orang lain, sambil menghormati agama dan sentimen agama mereka.

Marilah kita bekerja bersama-sama dan menghormati satu sama lain supaya hubungan persaudaraan kita lebih aman. Dengan cara ini, kita akan memberi kemuliaan kepada yang Maha Kuasa dan menggalakkan keharmonian dalam masyarakat, yang semakin memiliki ciri-ciri berbilang etnik, berbilang agama dan berbilang budaya.

Kami akhiri dengan ucapan selamat berpuasa yang penuh berkat dan sambutan ‘Id al-Fitr yang penuh meriah serta jaminan kami kepada sekalian saudara saudari dalam kesatuan doa.

Mesej Bulan Ramadan dan Aidilfitri page 1Mesej Bulan Ramadan dan Aidilfitri page 2Mesej Bulan Ramadan dan Aidilfitri page 3