Pesanan Hari Minggu Alkitab 2014

 

Sekarang siapakah yang mempunyai kuasa untuk mentafsirkan Kitab Suci dan menjamin ketulenan tafsiran? Adakah Kitab Suci sahaja sudah mencukupi? Bagi tujuan ini, mesej Hari Minggu Kitab Suci 2014 memberi tumpuan kepada hubungan antara Kitab Suci, Tradisi Apostolik dan Magisterium atau Kuasa Mengajar Gereja.

Memerlukan Panduan untuk mendapatkan Khazanah

Dalam Lukas 24:25-27, 44-47 Kristus yang telah bangkit menjelaskan dan mentafsirkan kepada dua orang pengikut yang kecewa semasa dalam perjalanan ke Emaus dan para Rasul-Nya; peristiwa yang berlaku kepada diri-Nya dari Taurat Musa sampai kepada tulisan-tulisan para Nabi. Dalam Kisah Para Rasul 8:26-40, seorang sida-sida dari Etiopia semasa dalam perjalanan pulang selepas ziarahnya ke Yerusalem, sedang membaca kitab Yesaya mengenai Hamba Yahweh yang Menderita (Yesaya 53:7-8). Filipus yang dipimpin oleh Roh Kudus, menghampirinya dan bertanya, Mengertikah tuan apa yang tuan baca itu?” Beliau menjawab, Bagaimanakah aku dapat mengerti, kalau tidak ada yang membimbing aku?” Filipus kemudian mula menjelaskan Berita Baik tentang Yesus kepadanya. Jawapannya segera. Sida-sida itu meminta untuk dibaptiskan di sana dan pada masa itu juga.

Yesus, pada Perjamuan Akhir, memberitahu para murid-Nya, Masih banyak hal yang harus Ku katakan kepadamu, tetapi sekarang kamu belum dapat menanggungnya. Tetapi apabila Ia datang, iaitu Roh Kebenaran, Ia akan memimpin kamu ke dalam seluruh kebenaran; sebab Ia tidak akan berkata-kata daripada diri-Nya sendiri, tetapi segala sesuatu yang didengar-Nya itulah yang akan dikatakan-Nya dan Ia akan memberitakan kepadamu hal-hal yang akan datang. Ia akan memuliakan Aku, sebab Ia akan memberitakan kepadamu apa yang diterimanya daripada-Ku (Yohanes 14:26; 16:12-14) dan sebelum kenaikan-Nya ke Syurga, Kristus yang telah bangkit berkata kepada para Rasul-Nya supaya berada di Yerusalem dan berkata; Tetapi kamu akan menerima kuasa, kalau Roh Kudus turun ke atas kamu, dan kamu akan menjadi saksi-Ku (Kisah 1:4,8)

Seperti yang Tuhan Yesus telah janjikan, Roh Kudus turun ke atas Gereja awal dan Petrus melakukan pewartaan pertama yang penuh inspirasi menjelaskan Injil Yesus Kristus. Sambutannya amat menggalakkan! 3000 orang telah dibaptiskan pada hari itu! Sejak itu Roh Kudus telah bersama Gereja awal, memberi inspirasi dan membimbingnya menjadi “saksi (yang setia) kepada Yesus bermula dari Yerusalem, ke Samaria, Yudea dan ke hujung bumi” seperti yang arahkan oleh Yesus dalam Kisah Para Rasul 1:8. Roh Kudus yang sama terus memimpin dan membimbing Gereja Kristus yang sama yang didirikan di atas batu karang, yakni Petrus, dan memastikan bahawa ia setia mewariskan mesej Injil yang sama seperti yang telah diterima daripada para Rasul dengan demikian ia terus kekal tidak terusik, tidak berubah tetapi masih terus relevan dan berkesan dalam setiap generasi seterusnya (ruj. 1 Tesalonika 1:2-5; 2 Timotius 3:14-17). Ia tetap seperti dekimian sebab dalam kebaikan-Nya Allah telah menetapkan, bahawa apa yang diwahyukan-Nya demi keselamatan semua bangsa, harus tetap utuh untuk selamanya dan diteruskan kepada segala keturunan. (KGK 74; Dei Verbum Bab 2 No.7)

Apakah Khazanah Itu?

Apabila Kristus Tuhan mengutus para Rasul untuk memberitakan kepada semua orang-orang Injil itu yang merupakan sumber segala kebenaran yang menyelamatkan dan pengajaran moral, Dia memberikan mereka jaminan ini: Aku menyertai kamu senantiasa sampai akhir zaman. (Matius 28:18-20; Markus 16:20). Perintah ini dilaksanakan dengan setia oleh para Rasul, yang dalam pewartaan lisan, dengan teladan serta penetapan-penetapan meneruskan sama ada yang mereka telah diterima dari mulut Kristus, pergaulan dan karya Kristus sendiri, atau apa yang mereka pelajari melalui dorongan Roh Kudus. Perintah Tuhan ini juga dijalankan oleh para Rasul dan tokoh-tokoh rasuli, yang atas ilham Roh Kudus yang sama itu juga telah membukukan amanat keselamatan. [DV 7]

Tetapi untuk memastikan agar Injil tersimpan selama-lamanya, menyeluruh dan hidup dalam Gereja, para Rasul melantik para Uskup sebagai pengganti mereka, “memperturunkan” kepada mereka “kuasa untuk mengajar di tempat mereka sendiri” (rujuk 1 Timotius 4:14). Para Rasul, memperturunkan apa yang mereka sendiri telah terima, menggalakkan umat beriman untuk berpegang teguh kepada tradisi yang telah mereka pelajari sama ada secara lisan atau melalui surat (2 Tes. 2:15), dan berjuang untuk mempertahankan iman yang diperturunkan sekali untuk selamanya (Yudas 1:3) [DV 8].

Yesus sendiri telah memberi amaran kepada para Rasul-Nya, Pada waktu itu jika orang berkata kepada kamu: Lihat, Mesias ada di sini, atau Mesias ada di sana, jangan kamu percaya. Sebab Mesias-mesias palsu dan nabi-nabi palsu akan muncul dan mereka akan mengadakan tanda-tanda yang dahsyat dan mukjizat-mukjizat, sehingga sekiranya mungkin, mereka menyesatkan orang-orang pilihan juga (Matius 24:23-24). Dan Paulus, dalam suratnya kepada umat di Galatia, berkata, Aku hairan, bahawa kamu begitu lekas berbalik daripada Dia, yang oleh kasih karunia Kristus telah memanggil kamu, dan mengikuti suatu injil lain, yang sebenarnya bukan Injil. Hanya ada orang yang mengacaukan kamu dan yang bermaksud untuk memutarbalikkan Injil Kristus. Tetapi sekalipun kami atau seorang malaikat dari syurga yang memberitakan kepada kamu suatu injil yang berbeza dengan Injil yang telah kami beritakan kepadamu, terkutuklah dia (Galatia 1:6-12; Yudas 4). Oleh itu, peringatan dalam Ibrani 13:8-9; Yesus Kristus tetap sama, baik kelmarin mahupun hari ini dan sampai selama-lamanya. Janganlah kamu disesatkan oleh berbagai-bagai ajaran asing”.

Sekarang tugas memberi tafsiran yang sahih akan Sabda Allah, sama ada dalam bentuk bertulis (Kitab Suci) atau dalam bentuk Tradisi, hanya diamanahkan kepada Magisterium atau Kuasa Mengajar Gereja yang hidup. Kuasa dalam hal ini dilaksanakan dalam nama Yesus Kristus. Ini bermakna bahawa tugas pentafsiran telah dipercayakan kepada para uskup dalam kesatuan dengan pengganti Petrus, Uskup Roma (KGK 85; DV 10)

Kuasa Mengajar itu tidak berada di atas Sabda Allah, melainkan melayaninya, hanya mengajar apa yang telah diperturunkan, mendengarkannya dengan dedikasi, menjaganya dengan cermat dan menerangkan dengan setia bersesuaian dengan tugasan ilahi dan dengan bantuan Roh Kudus. Ia menerima daripada inti iman yang satu segala yang ia kemukakan sebagai kepercayaan seperti yang diwahyukan oleh Tuhan. Dengan berpegang kepada warisan ini, seluruh umat kudus – bersatu dengan gembalanya – sentiasa setia kepada ajaran para rasul (Kis. 2:42) [DV 10]

Dalam Kisah Para Rasul 15:1,5 beberapa orang Kristian Yahudi menegaskan bahawa untuk diselamatkan, Kristian yang bukan Yahudi harus pertama-tama memerhatikan Hukum Musa dan disunatkan. Krisis “teologi” ini menyebabkan mesyuarat besar pertama pemimpin-pemimpin Gereja di Yerusalem. Mesyuarat ini bertujuan untuk menyelesaikan krisis ini yang membantu Gereja awal untuk memahami makna penyelamatan berhubung dengan iman dalam Kristus Yesus dan Hukum Musa – titik di mana Paulus dengan baik menjelaskan dan menerangkan juga dalam surat-suratnya kepada umat di Galatia dan terutamanya kepada umat di Roma.

Dalam mesyuarat pemimpin-pemimpin Gereja berikutnya sepanjang tempoh sejarah yang berbeza menunjukkan peranan penting Magisterium atau Kuasa Mengajar Gereja terutamanya dalam menjelaskan inti pati iman dan dalam menangani isu-isu teologi dan yang berkaitan dengan Kitab Suci yang dibangkitkan oleh Martin Luther, John Calvin dan para Reformis lain. Magisterium Gereja telah membuat banyak kenyataan muktamad yang jelas tentang Iman dan telah mengisytiharkan beberapa dogma penting. Dogma-dogma ini bukanlah wahyu baru; dan tidak juga bercanggah dengan mesej Injil dalam Kitab Suci. Semua yang Tuhan mahu wahyukan telah mencapai kemuncak dan penggenapannya di dalam Yesus Kristus. Selepas Yesus Kristus, tidak terdapat lagi wahyu umum yang baru. Penyataan Iman atau dogma hanya mengetengahkan aspek-aspek tertentu Iman yang sudah ada untuk penekanan yang lebih jelas.

Syahadat Para Rasul yang mengandungi 12 perkara Iman yang merupakan kesaksian hidup untuk “apakah itu Gereja dan apa yang dipercayainya?” kerana ia telah diperturunkan sepanjang abad sejak zaman Apostolik (DV 8). Tradisi ini yang berasal dari para rasul ini, berkembang di dalam Gereja dengan bantuan Roh Kudus. Terdapat pertumbuhan dalam pemahaman dan Gereja sentiasa bergerak ke hadapan ke arah kepenuhan kebenaran ilahi sehingga sabda Tuhan mencapai kegenapan penuh mereka di dalamnya.

Tradisi Suci harus dibezakan daripada pelbagai teologi, disiplin, liturgi atau tradisi kebaktian, yang wujud dalam Gereja-Gereja tempatan sepanjang zaman. Ini merupakan bentuk-bentuk tertentu, yang disesuaikan dengan tempat-tempat dan masa-masa yang berlainan, di mana Tradisi agung diungkapkan. Dalam sinar Tradisi Suci, tradisi-tradisi ini boleh dikekalkan, diubah suai atau ditinggalkan di bawah bimbingan Magisterium Gereja (KGK 83). Yesus bercakap tentang perbezaan antara Tradisi Suci dan “tradisi para penatua” atau “tradisi manusia” seperti yang disarankan oleh orang-orang Farisi (ruj. Markus 7:1-13). Walau bagaimanapun Dia memberitahu orang ramai dan pengikut-pengikut-Nya, Ahli-ahli Taurat dan orang-orang Farisi telah menduduki kerusi Musa. Sebab itu turutilah dan lakukanlah segala sesuatu yang mereka ajarkan kepadamu, tetapi janganlah kamu turuti perbuatan-perbuatan mereka, kerana mereka mengajarkannya tetapi tidak melakukannya (Matius 23:2-3). Perbezaan antara inti pati dan bukan inti pati atau antara subjektif dan objektif perlu diperjelaskan supaya kita tidak terkeliru antara tafsiran peribadi dengan tafsiran rasmi Kitab Suci oleh Gereja, atau penerapan menurut situasi dengan ajaran rasmi Gereja, atau tafsiran peribadi dengan Pernyataan Umum yang rasmi.

Tradisi suci dan Kitab Suci merupakan dua kaedah memperturunkan yang berbeza. Tetapi kedua-dua mereka, yang mengalir daripada sumber ilahi yang sama – inti pati Iman yang sama, dengan cara tertentu bergabung menjadi satu dan menjurus ke arah tujuan yang sama. Kitab Suci ialah sabda Allah yang diabadikan menjadi tulisan di bawah inspirasi Roh Ilahi, manakala Tradisi Suci atau Tradisi Apostolik menggunakan Sabda Allah yang diamanahkan oleh Kristus Tuhan dan Roh Kudus kepada para Rasul, dan memperturunkannya kepada para pengganti mereka dalam ketulenan yang sepenuhnya, oleh itu sementara dipimpin oleh cahaya Roh kebenaran, mereka dalam mewartakannya, memelihara Sabda Allah ini dengan setia, menjelaskan, dan menjadikannya lebih dikenali (DV 9). Melalui Tradisi Suci ini, “Demikianlah Gereja dalam ajaran, hidup serta ibadatnya mengekalkan serta meneruskan kepada semua keturunan dirinya seluruhnya, imannya seutuhnya”[KGK 78; DV 8].

Oleh yang demikian bukan dari Kitab Suci sahaja Gereja menimba kepastian tentang segala-gala yang diwahyukan (DV 9). Kesimpulan dalam Injil Yohanes mengatakan, Memang masih banyak tanda lain yang dibuat Yesus di depan mata murid-murid-Nya, yang tidak tercatat dalam kitab ini, tetapi semua yang tercantum di sini telah dicatat, supaya kamu percaya, bahawa Yesuslah Mesias, Anak Allah, dan supaya kamu oleh imanmu memperoleh hidup dalam nama-Nya (Yohanes 20:30-31).

Gereja diamanahkan dengan Khazanah Ini

Kitab Suci hendaklah dibaca dan ditafsirkan dalam “Tradisi hidup seluruh Gereja” kerana Kitab Suci secara prinsipnya ditulis didalam hati Gereja dan bukan dalam dokumen dan rekod. Gereja membawa dalam Tradisinya peringatan hidup Sabda Tuhan dan Roh Kuduslah yang memberikannya tafsiran rohani Kitab Suci (KGK 113). Oleh itu kedua-duanya sama ada Tradisi mahupun Kitab suci harus diterima dan dihormati dengan cita rasa kesolehan dan hormat yang sama (KGK 80-82; DV9).

“Maka jelaslah Tradisi Suci, Kitab Suci, dan Kuasa Mengajar Gereja, menurut rencana Allah yang maha bijaksana, saling berhubungan dan berpadu sedemikian rupa, sehingga yang satu tidak dapat berdiri tanpa yang satu lagi dan semuanya bersama-sama, masing-masing dengan caranya sendiri, di bawah gerakan satu Roh Kudus, menyumbang secara berkesan bagi keselamatan jiwa-jiwa” [KGK 95; DV 10]

Gereja diasaskan melalui Petrus, Batu Karang telah diberi kuasa oleh Yesus sendiri yang berkata: Kepada-Ku telah diberikan segala kuasa di syurga dan di bumi. Kerana itu pergilah, jadikanlah semua bangsa murid-Ku dan baptislah mereka dalam nama Bapa dan Anak dan Roh Kudus, dan ajarlah mereka melakukan segala sesuatu yang telah Ku perintahkan kepadamu (Matius 28:18b-20a; Yohanes 20:21). Petrus telah diberikan jaminan peribadi oleh Yesus sendiri pada Perjamuan terakhir, Aku telah berdoa untuk engkau, supaya imanmu jangan gugur. Dan engkau, jikalau engkau sudah insaf, kuatkanlah saudara-saudaramu (Lukas 22:32). Dalam Yohanes Injil, Dia secara peribadi diberitahu sebanyak tiga kali oleh Yesus sendiri selepas kebangkitannya, untuk “gembalakanlah domba-domba-Ku!” Petrus dengan itu telah diamanahkan dan terus diamanahkan dengan tanggungjawab Gembala Baik (Yohanes 21:15-19). Dia memperturunkan tanggungjawab pastoral ini kepada penggantinya. Penerusan ini berlanjutan dari seorang pengganti kepada pengganti yang seterusnya dalam Gereja sehingga pada hari ini. Ini menerangkan sumber dan kuasa Kuasa Mengajar Gereja Kristus yang dibina melalui Petrus, sang Batu Karang, dan statusnya yang unik sebagai Paus dalam Jabatan yang amat diperlukan ini (Matius 16:18-19).

Kini selama lebih 2000 tahun, Gereja Kristus yang dibina di atas Batu Karang, daripada Petrus yang “pertama” sehingga Petrus yang ke-266” – Paus Fransiskus, telah memiliki khazanah yang sama ini (inti pati Iman) dan terus setia berpegang, memelihara dan memperturunkannya kepada generasi yang selanjutnya (KGK 76, 84; 2 Tes 2:15; Yudas 1:3).Walaupun banyak perubahan dalam generasi dan juga keadaan tidak menentu di dalam Gereja mahupun di dunia secara amnya, khazanah tidak ternilai ini masih utuh di dalam Gereja, mengekalkan kemurnian tidak ternilainya dan kekal mekar tanpa kehilangan nilai abadinya (DV 10). Kepentingan atau nilai daripada khazanah ini, tidak seperti pasaran saham, tidak berkurangan atau meningkatkan mengikut penilaian atau taksiran manusia. Walaupun diubah oleh peristiwa-peristiwa yang sentiasa berubah dalam sejarah dunia, ia telah mengubah dan akan terus mengubah, memberi kesan dan membentuk peristiwa-peristiwa dunia dan sejarah manusia.

Kebijaksanaan 7:27 dapat menjelaskan mengenai pengubah yang tidak berubah atau penggerak yang tidak bergerak ini; “Meskipun sendirian, kebijaksanaan mampu melakukan segala-nya. Walaupun kebijaksanaan sendiri tidak berubah, kebijaksanaan membaharui semuanya. Turun-temurun kebijaksanaan masuk ke dalam jiwa orang suci dan menjadikan mereka nabi dan sahabat Allah”.

Dengan cara yang sama, walaupun tafsiran Kitab Suci rasmi Gereja atau pengajaran rasmi Injil Yesus Kristus tidak berubah pada asasnya, ia kekal selama-lamanya relevan dan berkesan dalam membentuk peristiwa-peristiwa dunia dan kehidupan manusia (KGK 84). Khazanah tidak ternilai ini, iaitu inti pati Iman yang diamanahkan oleh Kristus kepada para Rasul-Nya boleh dihuraikan dalam satu Sabda, iaitu Yesus Kristus, Anak Allah (Markus 1:1; Lukas 1:1-4; Yohanes 1:1-5; 20:31, Ibrani 1:1-2). Paulus berkata dalam istilah yang lebih khusus, kami memberitakan Kristus yang disalibkan … kekuatan Allah dan hikmat Allah (1 Korintus 1:23a-24b; 2:1-5). Sejak zaman apostolik, Gereja yang Satu, Kudus, Katolik dan Apostolik ini disokong oleh dua tiang, iaitu, Tradisi Suci dan Kitab Suci, masih setia teguh pada Satu Dasar – Yesus Kristus (1 Korintus 3:12) dan sebagai cabang-cabang kekal setia dalam pohon anggur, ia telah menghasilkan banyak buah dan buah yang kekal (Yohanes 15:1-17).

Nikmati Khazanah Itu

2 Timotius 3:14-17 merumuskan dengan baik hubungan istimewa antara Kuasa Mengajar Gereja (Majisterium), Kitab Suci dan Tradisi Suci:

“Tetapi hendaklah engkau tetap berpegang kepada ajaran benar yang sudah diajarkan kepada kamu (Tradisi) dan yang engkau percaya dengan sepenuhnya. Engkau mengetahui siapa guru-gurumu dahulu (Majisterium) dan sejak kecil lagi engkau telah mengenal Alkitab. Alkitab boleh memberi engkau kebijaksanaan untuk mendapat  penyelamatan melalui iman kepada Kristus Yesus. Semua yang tertulis di Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna untuk mengajar apa yang benar, untuk menegur dan memperbetulkan apa yang salah, dan untuk mengajar orang supaya hidup menurut kehendak Allah. Dengan Alkitab, orang yang mengabdikan diri kepada Allah dapat dilengkapi dengan sempurna untuk melakukan segala macam pekerjaan yang baik.”

 

Berkongsi Khazanah

  1. Apakah perbezaan di antara Perkongsian Kitab Suci dan Pengkajian Kitab Suci? Bagaimanakah mereka berkaitan antara satu sama lain?
  2. Dalam pengalaman anda, apakah masalah yang dihadapi oleh kebanyakan orang dalam memahami apa yang dibaca oleh mereka dalam Kitab Suci semasa doa peribadi mereka atau belajar?
  3. Apakah bahaya tafsiran peribadi bebas sahaja tanpa bimbingan Kuasa Mengajar Gereja?